Monday, February 23, 2009

BEN OKRI, novelis dari Nigeria


Kira-kira jam 4.45 petang tadi saya ke Pasaraya Spring. Saya belum pernah ke sana sejak pembukaannya. Tujuan utama untuk membeli buku di gudang buku MPH. Kalau di KL saya akan membeli buku di Gudang buku Boarders. Pada masa-masa tertentu di Kuching, saya selalunya akan berkunjung ke kedai buku berhampiran kawasan Satok dan juga The Times di Parkson.

Dengan memandu kereta Kancil bersendirian saya ke Spring dan sampai di sana terus mencari MPH. Setelah bertemu saya pergi ke rak buku fiksyen. Pandangan saya tertumpu pada sebuah buku bertajuk Star Book tulisan Ben Okri. Seperti biasa, saya mencapai buku tersebut dan membaca catatan di belakang. Biasanya komentar yang tertulis di kulit belakang buku boleh memberi sedikit panduan tentang isi buku itu.

Tapi bagi saya Ben Okri bukan penulis asing dari segi pembacaan novel saya. Sebelum ini saya telah membeli lima buah daripada buku tulisan novelis kelahiran Nigeria ini. Buku-buku yang telah saya beli dan baca adalah Astonishing the gods, Dangerous Love, The Famished Road, In Acadia dan Infinite Riches.Saya jelas amat tertarik dengan gaya tulisan Okri dan setiap kali menemui buku tulisannya saya pasti membeli. Ada beberapa buah tajuk lagi yang belum saya ketemu.

Ben merupakan seorang penulis dari Nigeria. Setelah Ben dilahirkan, ayahnya membawa keluarga ke London untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.Apabila Ben berumur tujuh tahun, ayahnya kembali ke Lagos, Nigeria.

Membaca jalan hidup yang dilaluinya membuat kita kagum betapa kecekalan dan kesukaran membuka ruang untuk kreativiti dalam dirinya lahir dalam bentuk puyisi dan novel. Cara penceritaan Ben sungguh menakjubkan. Dia menulis sesuatu yang indah dan menghiburkan. Membaca novel tulisan Ben Okri akan pasti membawa si pembaca bersama-sama di dalam ceritanya. Sungguh menakjubkan.

Novel Star Book yang saya beli belum lagi saya baca kerana saya masih membaca dua buah buku lain. Saya harap dapat membaca Star Book awal Mac ini.

Catatan ringkas saya akhiri dengan mutiara kata Ben Okri. Katanya,

“ Politic is the art of the possible; creativity is the art of the impossible.”





Saturday, February 21, 2009

LUMBA KUDA

Entah mengapa, tiba-tiba saya terkenangkan masa saya masih bersekolah di Lumba Kuda Council School empat puluh lapan tahun lalu, ketika saya dan isteri dalam perjalanan untuk ke pekan Kuching. Saya ceritakan pada isteri tentang masa itu. Cerita tentang satu permainan zaman kanak-kanak yakni lumba kuda.
Tahun 1961 saya berada di dalam tahun satu di Lumba Kuda Council School. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan padang Lumba Kuda, Kuching. Hari ini, di tapak padang lumba kuda itu, berdiri indah bangunan Majlis bandaraya Kuching Selatan yang mempunyai bentuk seperti Tokong Siam/Pagoda.
Saya bersekolah waktu tengah hari. Bila sampai ke sekolah masih ada masa terluang kerana kelas pagi masih berjalan sehingga jam 12.30 tengah hari. Waktu luang begitu saya dan teman-teman sekelas akan memerhati gelagat pelajar-pelajar senior (mungkin tahun 3 agaknya).
Antara aktiviti pelajar ketika itu ialah berlari dalam satu perlumbaan antara mereka. Mereka akan berlari di padang di hadapan sekolah yang bertanah putih kekuningan berbatu kecil. Tanah agak keras dan berdebu ketika hari panas dan akan bertukar menjadi becak bila hujan.
Perlumbaan pelajar-pelajr ini bukan perlumbaan biasa. Mereka namakan perlumbaan ini Lumba Kuda. rasanya tentu pengaruh lumba kuda di sebelah sekolah kami.
Untuk perlumbaan ini setiap pasukan terdiri daripada dua orang pelajar, seorang pelajar senior (bertindak sebagai Joki) dan seorang pelajar tahun satu (sebagai kuda)
Caranya pelajar senior akan memegang baju di belakang tengkuk pelajar tahun satu dan kedua-dua mereka akan berlari dengan pelajar tahun satu di hadapan, baju dipegang kukuh oleh joki. Saya cukup seronok melihat perlumbaan ini. Ia menjadi satu kemestian saya memerhati mereka berlumba.
Di dalam hati saya terdetik perasaan ingin ikut berlumba tapi tidak pula saya diajak oleh pelajar senior. Mungkin kerana saya terlalu pendiam dan tidak banyak berkawan atau mungkin saiz badan yang agak kerdil.
Suatu hari, ketika memerhati perlumbaaan yang hendak bermula, dalam keadaan panas mentari yang menggigit kulit, seorang senior datang kepada saya dan mengajak saya menjadi kuda beliau untuk perlumbaan seterusnya. Apa lagi saya kegembiraan dan di hati saya berkata, saya pasti menang perlumbaan ini.
Apabila perlumbaan bermula saya berlari tapi tolakan oleh joki saya terlalu kuat sehingga saya tersembam ke hadapan. Tapak tangan dan lutut saya berdarah akibat bergeseran dengan batu-batu kecil. Perlumbaan baru saja bermula dan kami kalah sebelum sampai ke garisan penamat. Saya menangis terisak isak menahan kesakitan. Saya tidak ingat sama ada senior ada memujuk saya, tapi yang jelas itulah kali pertama dan terakhir saya mengikuti lumba kuda itu.
Ah, sesekali teringat peristiwa itu, saya senyum sendiri.

Thursday, February 19, 2009

SEDEKAD PENUH BERKAT

Nurul Hakimah, puteriku yang bongsu, lahir pada hari khamis 18 Februari 1999, jam empat petang, setelah masuk waktu asar, di Hospital Miri. Suasan petang itu masih jelas terbayang di dalam fikiranku. Memori yang sangat indah. Aku dikurniakan Allah SWT dengan cahaya mata ke-7 setelah usiaku hampir 46 tahun dan isteriku pula hampir empat puluh dua tahun. Kami bersyukur atas kehadiran Nurul.
Kehadiran Nurul sebagai pengobat rinduku pada cucuku yang pertama, Faiz Sanim. Faiz lahir bulan Mac 1998 di Miri ketika anakku Laila masih bersama kami. Kemudian mereka berpindah ke Sungai Petani setelah bersama kami selam
a lebih kurang enam bulan. Bayangkan betapa kerinduanku pada Faiz setelah perpisahan itu. Tapi akyu tidak pula melahirkan rasa rindu itu. Ia hanya kurasai jauh di lubukj hati.
Allah maha berkuasa dan mengerti kedukaanku lantas enam bulan selepas Faiz ke SP kami dikurniakan cahaya mata dengan kelahiran Nurul untuk menghilangkan kerinduan kami terhadap Faiz.
Hari ini hari ulang tahun kelahiran Nurul Hakimah yang kesepuluh. Nurul semakin dewasa dan dibebani oleh karenah enam orang anak saudaranya. Kadang-kadang timbul rasa kasihan pada Nurul yang terpaksa melayan tingkah laku anak saudara yang terus-terusan memanggil Mak Su. Ayah dan Ibu hanya mengharapkan kebahagian dan kesejahteraan Nurul, membesar dengan penuh keindahan dan kemanisan hidup, belajar menerima dan menempuh masa muka dengan berani dan bertanggungjawab. Rasanya ingin benar kami melihat Nurul cepat-cepat dewasa. Tak sabar kami menanti saat Nurul menjadi seorang yang sudah dewasa.
Nurul Hakimah, selamat hari jadi sayang.