Saturday, August 13, 2016

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (18) BERTEMU CIKGU HAJAH SARAH


Bertemu Cikgu Hajah Sarah  

Malam tadi saya hadir majlis tahlil malam yang ketujuh kembali kerahmatullah anakanda Nuramirah Ikmal binti Kamil, puteri bongsu Dr Kamil Salem, seorang sahabat dan saudara terdekat saya.

          Saya datang awal sebelum maghrib dan berpeluang berkenalan dengan Tuan Haji Ahmad Mansor, mantan Setiausaha sulit kepada Dato Sri Abang Zohari dan sempat berbual-bual dengannya sementara menunggu waktu solat.

Mulanya kami bercakap tentang hujan yang turun lebat petang hari jumaat. Hujan dan panas mengingatkan kami cuaca musim lalu, sekitar 1960an dan 70an yang man putarannya tepat. Jika sampai bulan November hingga Mac, hujan akan kerap turun di negeri kami, maknanya itu musim landas atau dengan terma yang lebih dikenali ramai, musim tengkujuh.

          Percakapan kami berlanjutan menyentuh suasana hidup yang serba kekurangan ketika itu, tiada paip air di rumah, jalan becak masa hujan dan berdebu masa panas. Di kampung saya, kampung Pulo Hilir, kami berjalan di atas batang nyiur yang dijadikan titian untuk mengelak becak. Di kampung hanya terdapat "stand pipe" yang diletakkan di tempat strategik untuk digunakan oleh penduduk kampung secara bersama dan berkongsi.
          
Kami sentuh juga peranan guru ketika itu, bagaimana kami dirotan guru dan tidak berani pula menceritakan kepada ibu bapa kerana jika kami ceritakan, maka ibu atau bapa akan tambahkan lagi hukuman dengan merotan kami.Bagi ibu bapa zaman kecil kami, cikgu yang merotan itu mengajar anak supaya menjadi manusia berguna. Cikgu adalah seperti keluarga bagi ibu bapa. Cikgu adalah insan yang sangat-sangat dihormati di kampung-kampung ketika itu. Kami melihat suasana hari ini dan kadang-kadang bertanya kepada diri kami, "Di mana silap kita?"

          Ketika bercerita tentang sekolah rendah saya beritahu Tuan haji Ahmad yang saya belajar di SK Pulo ketika di sekolah rendah tahun enam puluhan dulu. Tuan Haji Ahmad maklumkan saya isterinya pernah mengajar di SK Pulo ketika itu. Rupanya isteri Tuan Haji Ahmad Mansor adalah cikgu Sarah, guru saya sekitar tahun 1962-63. Seorang guru yang sangat saya senangi dan sayangi.

          Sementara menanti solat Isyak dan sesudah bertahlil Tuan Haji membawa saya berjumpa, isterinya, cikgu Hajah Sarah. Saya terkedu, setelah lebih lima puluh tiga tahun akhirnya saya dipertemukan kembali dengan guru yang pernah mendidik saya masa kecil saya. Allah, tidak terkeluar kata-kata dari diri ini. Amat terharu dan sangat-sangat gembira bertemu dengan cikgu.Saya kira detik waktu terhenti seketika.

          Kami berbicara sebagai insan-insan yang telah dewasa atau lebih tepat kami insan-insan yang telah berada di ambang senja. Allah pertemukan kami dalam suasana yang sangat megharukan jiwa saya. Tiada apa yang boleh saya ucapkan kepada cikgu Hajah
Sarah melainkan terima kasih yang teramat sangat atas didikan dan pelajaran yang telah diberikan kepada saya.

          Semoga Allah panjangkan usia cikgu Hajah Sarah dan suaminya Tuan Haji Ahmad Mansor dan dapat terus berbakti untuk kemaslahatan masyarakat hidup bahagia yang berkekalan dengan penuh keberkatan jua. aamiin.


Friday, August 05, 2016

1001 CATATAN KEHIDUPAN: Catatan dua

Catatan 2: Hampir lemas di dalam telaga

Ayah saya bekerja sebagai penjaga sebuah kilang papan (atau mungkin juga kilang getah, saya kurang pasti) yang terletak di tebing Sungai Sarawak bertentangan dengan kampung Bintawa di seberangnya. Tempat itu sekarang merupakan bekas tapak SESCO Western Region. Berhampiran kawasan itu juga dulu terdapat kilang-kilang seperti Si Hup Distillery dan juga kilang membuat minyak makan.

          Di hadapan rumah pekerja yang disediakan oleh majikan ayah terdapat sebuah telaga yang airnya kami gunakan untuk mandi. Begitulah kehidupan sekitar lim tahun-tahun puluhan dan enam puluhan, telaga memainkan penting dalam kehidupan seharian masyarakat kampung seperti peranan air paip hari ini.

          Tidak semua keluarga mempunyai telaga. Kami beruntung kerana telaga terdapat berhampiran rumah kami dan tiada rumah lain kecuali satu dua buah rumah pekerja dan sebuah rumah milik penjaga kerbau di situ. Kami berkongsi menggunakan telaga ini untuk mandi dan mencuci pakaian. Air minuman kami dapati dari air hujan yang ditapis dengan sebuah penapis batu yang besar selain mendapat air paip yang saya kurang ingat di mana letaknya.


          Suatu pagi saya mandi bersama ayah dan kakak saya di tepi telaga. Tanpa pengetahuan ayah saya menuruni sebuah tangga besi di tepi telaga itu namun genggaman tangan saya terlepas dan saya terjatuh ke dalam telaga. Masih dapat saya rasakan betapa saya cuba mencari tempat untuk berpaut sedang air mula memasukihidung dan mulut. 

Seketika saya merasai rambut saya digenggam erat dan saya ditarik keluar dari telaga. Entah apa yang saya rasai ketika itu, tidak dapat saya lukiskan. Hanya beberapa ketika selepas itu saya mula menangis. Usia saya ketika itu mungkin lima atau enam tahun. Allah panjangkan usia saya dan saya berpeluang menceritakan peristiwa ini kepada anak cucu. 

Kehidupan masa lalu amat sukar dan perit dengan prasarana dan kemudahan awam yang sangat terbatas. Awal tahun 50an saya tidak menemui air paip di rumah. Mungkin ada air paip untuk awam kerana masa lalu di setiap tempat strategik akan disediakan paip awam untuk kegunaan masyarakat setempat.
Foto sekadar hiasan: 
Kakak saya, Hajah Sayara bersama Ibu Saudara Almarhumah Habibah Takip dan seorang jiran dan teman keluarga kami, Ustazah Hjh Kalimah berpotret selepas majlis khatamal Qur'an di kpg Pulo Hilir sekitar lewat tahun 60han

Tuesday, July 19, 2016

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (17) - CIKGU LILIAN TAY



1963

Wajah semasa di sekolah menengah (1967-1971)


 Pulo District Council School tahun 60an

 
SELASA, 19 JULAI 2016

Seingat saya ketika itu saya berada di dalam darjah 3 Sekolah Rendah Pulo (dulu dikenali sebagai Pulo District Concil School), dalam tahun 1963. Seorang guru melapor diri di sekolah kami, cikgu Lilian namanya, dari kaum Bidayuh jika saya tak silap dan suaminya seorang berbangsa Cina.

          Cikgu Lilian ditugaskan sebagai guru kelas kami, mengajar kami bahasa Inggeris. Itu yang saya ingat. Mungkin juga ada mengajar mata pelajaran lain. Dia berbadan kecil, kurus dan berkaca mata. Suara agak tajam dan apabila dia meninggikan suara boleh membuat kita kecut dan hendak berlari keluar dari kelas. Ya, saya cuba menggambarkan betapa cikgu Lilaian ditakuti oleh semua murid di kelas kami.
          Di tangannya ada rotan yang sentiasa digunakan untuk merotan siap jua yang tidak menjawab soalannya atau silap dalam menjawab soalan. Bukan saya kata saya bijak tapi ketika itu, saya banyak kali terlepas dari rotan kerana memberi jawapan yang betul.
          Suatu hari kami belajar bahasa Inggeris dan dikehendaki mengikuti siaran untuk sekolah yang disiarkan oleh Radio Sarawak masa itu. Setelah mendengar dengan teliti siaran kami akan ditanaya dengan soalan berdasarkan siaran radio tadi.Bayangkan kita mendengar radio yang suaranya agak kacau dan tidak baik siarannya lantaran radio yang digunakan bukanlah sebaik yang ada sekarang. ia hanya jenis radio transistor berkuasa bateri.
          Cikgu bertanya soalan dan seorang demi seorang murid murid menjawab tetapi salah. Ada yang memang tak boleh menjawab pun.Setiap murid yang gagal menjawab akan dirotan dengan sebatang kayu pembaris. Hayunannya agak keras. Ada murid yang benjol di kepala. Tiba giliran saya, saya tak tahu jawapan yang tepat kerana tidak dapat mendengar dengan jelas siaran radio. Satu hayunan terkena di lengan saya. saya kira itu pertama kali saya dipukul.
          Saya menahan tangisan. Tanpa dilihat cikgu saya keluar dari kelas dan pergi ke pejabat guru besar. Guru Besar ketika itu Allahyarham cikgu Othman Ali. Jika saya tak silap rumah cikgu terletak di tebing sungai Bintangor. Cikgu Othman sangat baik pada saya. Dia tiada di pejabatnya tapi sedang mengajar di kelas lain. Saya masuk ke kelas itu sambil menangis saya beritahu cikgu Othman saya ingin berpindah ke sekolah lain kerana tidak tahan belajar dalam suasana begitu.
          Cikgu Othman tenang mendengar aduan saya . Dia benarkan saya balik ke rumah hari itu. Saya tak pasti apa terjadi selepas itu kerana saya terus kembali ke rumah dengan harapan saya dapat dipindahkan ke sekolah lain.
          Keesokan harinya saya hadir kembali ke kelas saya. Cikgu Lilian memandang arah saya dan berkata, " Ooo semalam awak buat aduan ya?" Saya senyap. Anehnya dia tidak berkata apa-apa atau tidak juga memarahi saya. Saya kembali tenang dan mendengar setiap apa yang diajar dengan tekun.
          Hari berlalu dan saya terus juga bersekolah di situ. Saya tidak berpindah kelas. Saya cuba menahan keperitan bersemuka dengan cikgu Lilian dan mengelak dari dimarahi atau dipukul dengan belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi jawapan yang betul untuk mengelak diri dari terkena pukulan cikgu.
          Tahun bertukar saya masuk darjah empat. Kami dapat guru kelas baru. Cikgu Lilian tidak mengajar kami lagi. Dia mungkin ada mengajar kami tapi untuk satu subjek sahaja. Dunia saya kembali tenang dan ceria.
          Tahun 1967 saya ke sekolah menengah, belajar di SMK St Thomas (ketika itu sebuah aided school). Setiap hari akan ke sekolah menggunakan perahu tambang untuk menyeberangi sungai Sarawak. Suatu hari saya bertemu cikgu Lilian dan kami berada di dalam perahu yang sama. Cikgu pulang dari mengajar. Saya menegurnya dengan bahasa yang elok seorang murid terhadap gurunya dengan berbahasa Inggeris, penuh yakin kerana sudah berada di sekolah menengah. Dia memuji saya kerana dapat menyambung persekolahan ke sekolah menengah sambil berkata bahawa setiap apa yang dia lakukan dulu bukan apa tapi untuk melihat muridnya berjaya.
          Dan saya sebenarnya bersetuju dengan cikgu Lilian. Tanpa didikan kerasnya saya mungkin akan menjadai murid yang lembik dan malas. Tidak saya gambarkan apa akan berlaku jika apa yang saya dan teman-teman alami itu berlaku hari ini. Saya kira akan pasti wujud isu keagamaan, perkauman dan isu guru yang akan dihukum kerana memukul murid. Tidak di zaman saya. ibu bapa kuat menyokong guru. Anak yang cuba melapor kepada ibu bapa kekasaran guru akan menerima padah bukan pembelaan bapa. Mungkin rotan yang akan dihayun kepada anaknya. Begitu ibu bapa meyakini dan mempercayai guru.
          Cikgu Lilian berbangsa Bidayuh mengajar di kampung orang Melayu di seberang sungai Sarawak tidak pernah khuatir disakiti atau dianiaya oleh orang Melayu. Dia yakin dia seorang guru yang berdedikasi dan ingin melihat hasil atas setiap pengajaran dan pembelajaran itu. Orang kampung juga tidak mendendami guru yang berlaku kasar kerana tahu mereka mendidik anak - anak supaya menjadi generasi yang berguna.
          Hampir lima puluh tahun berlalu. Saya terkenangkan jasa cikgu Lilian Tay(gelaran selepas berkahwin dengan pemuda Cina). Saya tidak pernah menemuinya selepas itu. Saya doakan dia dipanjangkan usia dan hidup dengan bahagia bersama keluarganya. Ada sesiapa yang mengenali cikgu Lilian Tay dan di mana dia berada sekarang?
         

Thursday, June 02, 2016

1001 CATATAN KEHIDUPAN: Catatan Satu

CATATAN 1 : KELAHIRAN



Tidak banyak fakta dan cerita yang dapat saya peroleh dari orang tua mahupun saudara tua saya tentang kelahiran saya. Sampai hari ini saya masih meragui tahun, bulan, apa lagi tarikh sebenar kelahiran saya. Sijil kelahiran saya berwarna merah menandakan kelahiran saya dilapor lewat. Namun menurut Allahyarham ibu, saya lahir di bulan Muharram pertengahan bulan , waktu dhuha, ketika air sungai Sarawak mula surut. 

Saya dikatakan kuat menyusu hingga sangat menyukarkan ibu. Tugas-tugas sebagai isteri pastinya terganggu sedikit kerana kegelojohan saya menyusu. Apa lagi tidak ada orang lain yang boleh diharapkan ibu ketika itu kecuali ayah saudara kepada ayah saya yang tinggal bersama kami, Nenek Ghafoor.

Saya dilahirkan tahun 1953 ketika itu usia ibu baru mencecah 23 tahun. Ada tiga orang saudara saya yang lahir sebelum saya. Anak sulung ibu, perempuan di beri nama "Segera", lahir sekitar tahun 1944, musim Jepun menduduki Sarawak. Anak kedua ibu, lelaki, diberi nama Mahrof dan lahir tahun 1947, dua tahun selepas Jepun menyerah kalah. Saudara ketiga saya,  Sayara, perempuan, lahir dalam tahun 1949. Ertinya ibu melahirkan anak pertama ketika usianya baru mencecah 15 tahun.

Jika ditanya pada saya apa yang boleh saya ingat atau apa maklumat yang boleh saya kutip tentang diri saya semasa kecil, saya rasa amat sedikit sekali. Yang sangat saya ingati ialah kuda mainan untuk saya tunggangi  dan saya kira ia dibeli oleh datuk saya yang ibu panggil dengan gelaran Mamu Ghafoor.

Datuk Ghafoor berasal dari India dan sangat meminati burung.Datuk Ghafoor berasal dari India dan sangat meminati burung. Di hadapan rumah kami, sebuah rumah pekerja yang disediakan oleh majikan ayah, terdapat sangkar burung yang dinaikkan di atas sebuah turus yang dihunjam kukuh. Saya masih ingat setiap pagi Datuk akan menaikkan sangkar burung menggunakan tali seperti kita menaikkan bendera. Saya tidak ingat berapa usia saya ketika itu tetapi itulah peristiwa dan detik-detik yang masih kekal dalam ingatan saya.

wajah Almarhumah ibu

Saturday, February 06, 2016

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (16)

KEMESRAAN MASA LALU

KHAMIS, 4 FEBRUARI 2016

Pagi ini saya berkesempatan menziarahi seorang saudara sebelah ibu saya, Sdr Julaihi bin Anis atau lebih mesra dengan panggilan bang Lihi, di Kampung Semarang Kuching, sebuah kampung bersebelahan dengan Kampung Pulo Ulu di Seberang Hilir. Lama juga saya tidak menjenguknya. Kali terakhir rasanya sebelum hari raya puasa tahun 2015.

          Abang Lihi tinggal di Kampung Semarang, di tebing sungai Sarawak di rumah tinggalan ayah dan ibunya. Ayahnya yang saya panggil Wa Anis, seorang tukang kayu, telah lama meninggal dnuia, begitu juga ibunya, Wa Diah, seorang wanita cekal berasal dari Sebangan, Sarawak. Usia abang Lihi sekarang tujuh puluh tiga tahun, sepuluh tahun lebih tua dari saya. Rumah asal telah dirobohkan beberapa tahun yang lalu. Sebuah rumah yang sangat usang dan tidak memerlukan masa lama untuk menyembah bumi.

          Hasil usaha Ketua Kaum Kpg Semarang sebelum ini, sdr Oton, sebuah rumah telah dibina buat abang Lihi di bawah projek PPRT Kerajaan. Sebuah rumah yang selesa, sesuai dan dan sederhana untuk dia menghabiskan sisa-sisa usianya. Isteri Bang Lihi telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Anaknya telah berumah sendiri mengikut suaminya. Sesekali ada juga anaknya menjenguk bang Lihi.

          Bang Lihi tidak punya kerja tetap. Dalam usia melebihi tujuh dekad itu,bang Lihi sesekali akan memasang jaring di sungai Sarawak . Sungai Sarawak sumber rezeki baginya. Dengan tangkapan ikan Lundu, baung dan beberapa jenis ikan sungai yang lain, hasilnya cukup untuk menyara hidupnya yang kini tinggal sendiri dan sepi namun di wajahnya terpancar ketenangan dan rasa syukur atas apa yang Allah kurniakan kepadanya.

          Semasa muda Bang Lihi bekerja sendiri di kebun getah. Selain menoreh getah di kebunnya pabila harganya baik, bang Lihi juga bekerja mengambil kayu bakau untuk dijual kepada Tauke yang akan menjualkannya kepada kontraktor untuk dijadikan kayu cerucuk. Untuk mengambil kayu bakau, bang Lihi akan mendayung perahu bako milik keluarganaya (sejenis perahu besar yang boleh memuatkan kayu bakau) menghilir ke sungai Sarawak dan destinasinya agak jauh. Antara tempat yang pernah saya ingat yang menjadi destinasi mengambil kayu bakau ialah di Sibu Laut dan sekitarnya. Berpergian mengambil kayu bakau ini mengambil masa yang agak lama melebihi seminggu. Kerja sangat berat namun hasilnya cukup untuk menyara kehidupan keluarga.

          Satu lagi keistimewaan bang Lihi ialah kepandaiannya menghasilkan kraftangan. Saya masih ingat di waktu kecil dulu, saya melihat model perahu layar yang cantik sekali hasil tangan bang Lihi. Jika kemahiran begitu diteruskannya saya jangka hasilnya boleh mendatangkan pendapatan yang baik buatnya namun saya kira mungkin dia sudah hilang minat membuatnya sekarang.

          Apa yang paling saya ingati tentang kehidupan di kampung masa lalu ialah aktiviti waktu malam para penduduk. Tidak banyak hiburan masa itu, kecuali mendengar siaran radio dan melihat wayang di panggungidak melakukan kedua-dua aktiviti itu, maka jiran akan datang berziarah di rumah untuk bersembang dan berunding tentang kerja sambil minum kopi. Rumah sentiasa terbuka buat jiran dan saudara berkunjung. Saya dan Pak saudara saya, Allahyarham Pk Su Bujang Matakip memang kerap keluar malam berkunjung di rumah saudara kami termasuk rumah bang Lihi.


          Kunjungan saya  ke rumah Bang Lihi di kampung semarang pagi ini mengingatkan saya pada masa lalu. Sekarang kunjung-mengunjung jarang berlaku seperti masa lalu. Sikap dan makna kejiranan sekarang berbeza dengan masa lalu. Hari ini individualistik lebih menonjol. Saya kira mengingati masa lalu sedikit sebanyak mengembalikan ingatan kita pada masa yang indah dan sangat kita hargai nilai budinya dengan penuh harapan kita dapat kembalikan semangat kejiranan seperti masa lalu.
Bang Lihi ketika berusia 14 tahun (1957)

Bang Lihi bersama sepupunya dari Sebangan Sarawak
Bang Lihi di sebelah kiri saya dan cucunya di sebelah kanan saya