Sunday, September 27, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (11)

KEDAI RUNCIT DI KAMPUNG

Antara tempat yang paling suka dijenguk masa kanak-kanak dulu tentulah kedai runcit, lebih-lebih lagi pabila ke kedai bersama ayah atau ibu. Ada peluang untuk membeli apa yang dihajati sebab pegawai kewangan berada di samping kita.

          Di Kampung Pulo Hilir terdapat beberapa buah kedai runcit yang menjual keperluan penduduk kampung. Kedai runcit tempat kebanyakan penduduk membeli barangan keperluan dapur seperti beras, gula, kopi, teh, minyak masak, kicap dan juga makanan dalam tin. Kedai runcit akan penuh sesak dengan pelanggan pada hujung bulan pabila penduduk-penduduk kampung yang bekerja mendapat gaji mereka. Masing-masing datang ke kedai untuk melunaskan hutang bulan lepas dan membuat belian hutang baru.

          Zaman enam puluhan kedai runcit kampung memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat setempat. Kedai runcit memberi kredit kepada penduduk dan dengan cara ini membantu penduduk kampung menjalani kehidupan mereka. Cara pekedai menjual barang juga sangat sesuai dengan keadaan penduduk setempat. Barangan seperti minyak masak, minyak tanah, kicap, beras dan lain-lain keperluan dijual dengan kuantiti sedikit mengikut kemampuan penduduk. Minyak masak dan kicap dijual mengikut sukatan tertentu dan tak perlu membeli satu botol atau satu tin. Dengan cara begini mereka yang tidak cukup wang boleh juga membeli keperluan dengan cara berdikit-dikit.

          Sesungguhnya pemilik kedai runcit insan yang berhati mulia. Saya yakin apa yang telah mereka sumbangkan kepada masyarakat kampung akan menjadi ibadah buat mereka. Antara pemilik kedai di kampung Pulo Hilir ialah Allahyarham Haji Awang Amit Sepeh dan isterinya Hajah Zainabon Yahya. Allahyarham merupakan saudara dekat saya dan ayah kepada teman FB, (Usuf Amit). Di kedai Allahyarham kami membeli keperluan keluarga secara kredit. Malah saya masih lagi membeli dikedai Allahyarham selewat tahun 1977. Ada semacam keseronokan berurusan dengan kedai runcit kampung walaupun harga lebih mahal daripada harga di pasar.

          Setiap kampung terdapat kedai runcit antara kedai runcit yang popular dulu termasuklah Kedai  Nek Paiee (Datuk kepada Belia Drahman) Kedai Runcit Hj Zainudin / Hj Jemaloi(Kpg Pulo Ulu), Kedai Runcit Pak Zen (kpg Semarang) dan beberapa buah lagi yang saya tak berapa ingat. Kedai Allahyarham Awang Amit kini diteruskan oleh anak perempuannya.

          Kehidupan di kampung Pulo Hilir Kuching di zaman enam puluhan sangat menyenangkan hati jika ingin mengingatinya. Setiap detik dan peristiwa membawa pengajaran kepada mereka yang mahu melihatnya.


Adik saya (kanan) berpotret bersama anak kepada Awang Amit yang mengambil alih perniagaan kedai runcit di kampung Pulo dari Allahyarham bapanya.

Kaka saya bersama seorang kawan di tebing sungai Sarawak

Saya bersama teman-teman menghanatar seorang kawan dari kampung kami yang melanjutkan pelajaran ke Australia. Saya kira foto ini dirakam sekitar 1972.

Sunday, September 20, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (10)

MASA UNTUK BERMAIN

padang badminton tempat kami bermain di hadapan rumah Fatimah Hj Salleh

Pelajar-pelajar SK Pulo. Foto ini dipinjamkan kepada saya oleh sdr Usup Amit.Saya masih tak pasti siapa pemiliknya dana tahunberapa foto ini dirakam . Yang pasti ia selepas 1966 dilatari SK Pulo yang baru yang terdapat di Kpg Semarang.


MASA UNTUK BERMAIN

Bagi kanak-kanak yang tinggal di kampung era enam puluhan sebahagian besar masa dihabiskan dengan bermain. Pelbagai jenis permainan dimainkan mengikut musimnya, antaranya, main senapok, jengkek, seremban, tembak gelang getah, guli, Wau/gudi/layang-layang, lumba rim basikal, lumba prauk bemban dan tidak ketinggalan berenang di sungai Sarawak.
          Setelah kembali dari bersekolah dan selesai makan tengah hari, masa akan diisi dengan bermain. Kanak-kanak hanya akan kembali tatkala senja hampir tiba. Pabila suara ibu berteriak memanggil pulang. masing-masing akan berlari ke rumah. Sebahagian akan terus ke tebing sungai dan mandi di sungai Sarawak.
(i) Main Senapok
Dalam bahasa Inggerisnya kita sebut  permainan "hide and seek". Sebuah tin kosong diisi beberapa butir batu kemudian ditutup mulut. Apabila dikocak ia akan mengeluarkan bunyi. Seseorang akan bertugas mencari di mana teman-teman bersembunyi. Apabila ditemui dia akan mengocak tin tersebut. Tugas yang bersembunyi ialah cuba mengocak tin tersebut tanpa namanya disebut oleh si pencari. Jika ia berjaya, si pencari akan kekal mencari.

(ii) Lumba Rim Basikal
Ia perlumbaan biasa antara peserta yang akan mengelilingi padang sekolah di kampung Pulo. Peserta akan berlari sambil menggunakan sebatang kayu untuk menggerakkan rim basikal agar berputar. Yang seronoknya ada ketika kita dapat hadiah jika dapat no satu, dua atau tiga. Hadiah dibeli dengan menggunakan wang kutipan antara peserta yang ikut serta.

(iii) Lumba Prauk/Lumba Perahu
Apa yang dimaksudkan dengan lumba perahu di sini bukan berlumba dengan perahu di sungai. Sebaliknya ia merupakan lumba lari dengan setiap peserta akan membawa di tangannya sebatang pohon bemban yang dibentuk menyerupai perahu lumba lengkap dengan nama perahu. Biasanya permainan lumba perahu ini bermusim. Ia akan bermula selepas diadakan pesta lumba perahu di sungai Sarawak.

(iv) Main
Bermain dengan guli sangat popular masa lalu. ada beberapa jenis permainan dimainkan dengan guli. Yang biasa saya main ialah main guli "put" yang memerlukan sebuah lubang uuntuk memasukkan guli dan juga untuk memangkah guli kita dengan guli musuh. Rasanya saya banyak dah lupa cara bermain guli.

(v) Lain-lain permainan:
Main seremban biasanya merupakan permainan kanak-kanak perempuan, namun ada juga lelaki yang bermain. Jengkek pula permainan melompat di atas petak yang dilukis pada tanah. Saya kira permainan jengkek ini terdapat di kebanyakan negara di dunia. Mungkin bermain berbeza sedikit sebanyak.
Masuk hutan untuk melastik burung sangat menyeronokkan waktu itu. Bukan sahaja burung yang menjadi mangsa, buah mempelam di kebun orang yang dilalui ikut dilastik sama. memikirkan kembali apa yang dilakukan masa kecil dulu timbul juga kekesalan di hati.


Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang sangat menggembirakan. Zaman yang tidak mungkin kembali namun mengingatinya sudah cukup untuk mengembalikan kegembiraan di hati kita.

Tuesday, September 15, 2015

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR, KUCHING (9)


Tentang Banjir, Pelajo, Engkabang dan Rebak


Allahyarham Habibah Matakip, emak saudara yang bertugas mengambil air di pangkalan besi buat keluarga kami. Allahyarham merupakan adik kepada Allahyarham ibu kami.

 Wajah saya  sekitar tahun 1963-64


Keluarga kami mula menetap di Kampung Pulo Hilir Kuching pada tahun 1962. Kami berpindah dari rumah sewa yang disediakan secara percuma oleh datuk Abdul Shakoor, bapa saudara kepada bapak di Batu Lintang, Kuching. Hari ini tempat tinggal kami itu adalah bersebelahan dengan bangunan Dirgahayu.

          Kami berpindah di kampung kerana keadaan kesihatan ibu yang sentiasa terganggu. Di Kampung ibu berubat dengan seorang saudara ibu yang kami panggil  Nek Leh, seorang dukun yang sangat terkenal menetap di kampung Panglima Seman Ulu. Nek Leh telah memulihkan semangat ibu melalui proses perubatan tradisi sehingga ibu kembali sihat seperti sediakala.

          Kerana perpindahan itu saya ikut berpindah sekolah dari Sekolah Rendah Lumba Kuda ke Sekolah Rendah Pulo( waktu itu dikenali dengan nama Pulo District Council School), yang terletak di Kpg Pulo Hilir. Jika boleh saya gambarkan sekolah kampung Pulo masa itu, ia sama dengan sekolah dewasa yang terdapat dalam filem Tan Sri P. Ramlee, Pendekar Bujang lapok. Sebuah bangunan kayu beratap nipah, bertiang nibong dan dinding separuh sahaja. Rumah kami terletak tidak jauh dari sekolah di tebing sungai Sarawak. Hari ini lokasi rumah kami telah hilang dibawa arus deras. Tembang rumah telah berada di dalam sungai.

          Pabila mengingati rumah di tebing sungai itu terasa benar rindu saya pada kehidupan di tebing sungai. Semacam ada ketenangan semulajadi menyusup ke dalam sanubari. Namun pada ketika itu apa yang dikhuatiri oleh orang tua hanyalah kedatangan banjir yang apbila ia mencapai maksimumnya hampir mencecah hingga ke lantai rumah kami. Namun banjir begitu tidak selalu berlaku.

          Waktu banjir hadir ketika musim landas antara bulan November hingga Mac. Kemuncaknya antara Disember dan januari. Musim landas atau tengkujuh ini banyak juga membawa rezeki kepada kami penduduk tebing sungai. Ketika air surut ia akan membawa sama buah engkabang dan buah pelajo. Buah engkabang saya difahamkan boleh diproses untuk membuat minyak engkabang dan buah pelajo pula digorung atau rebus biji/isinya. Rasanya sedap . Hari ini pabila mengunjungi pasar minggu di Kubah Ria saya tidak lupa membeli pelajo jika ada yang berjual.

          Selain Pelajo dan engkabang, kebiasaan kami menggunakan perahu mengutip rebak, yakni dahan-dahan kayu pelbagai rupa yang hanyut untuk dijadikan kayu api. Ada ketika jika bernasib baik kami bertemu kayu balak yang hanyut. Biasanya ia hanayut mungkin kerana terlepas ikatan dari motobot yang menundanya. Sebatang kayu balak yang ditemui itu boleh dijadikan kayu api untuk sebulan.

          Untuk bekalan air paip, mak saudara saya bersama teman-teman akan mengambilnya dari paip yang terletak di pangkalan besi, sebrang sungai Sarawak tempat tingggal kaum Heng Hua. Air akan diletakkan di dalam tin roti dan ada juga yang membawa tempayan. Kehidupan di tahun-tahun enam puluhan agak sukar dan mencabar.

          Hari ini penduduk kampung Pulo Hilir padat sekali. Dengan pembangunan Darul Hana sangat diharapkan kehidupan penduduk kampung Pulo Hilir dan jiran-jiran di seberang hilir akan dapat merasai kehidupan yang lebih selesa dengan infrastruktur yang sempurna dan teratur. Kita telah lima puluh tahun merdeka dan harus ada perubahan yang drastik sesuai dengan kemerdekaan negara.