Thursday, May 22, 2008

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR KUCHING (pengenalan)

Aku bertanya pada abang tuaku, Mahruf, berapa usiaku semasa kami berpindah dari rumah kami di tepi gudang Henry Waugh ke rumah sewa milik Mamu Shakoor di Batu Lintang. Abang memberitahuku kami berpindah sekitar tahun 1959. Waktu itu umurku baru masuk enam tahun, tetapi anehnya banyak perkara yang masih dapat kuingati dengan jelas.
Pada hari pertama berpindah aku dibawa oleh bapaku menggunakan basikalnya. Pada rade belakang basikal bapa terletak sebuah raga yang besar untuk meletakkan roti untuk dijual. Untuk membawa aku, bapa meletakkan aku duduk di dalam raga yang besar itu. Aku terasa begitu takut dan gayat sekali. Hingga hari ini rasa gayat seperti itu masih kuingati terus kurasai apabila berada di tempat tinggi. Apa pun aku begitu seronok menaiki basikal bapa buat kali pertama dalam hidupku,sajuh yang boleh kuingati..
Kehidupan di Batu Lintang cukup mencabar bagiku. Terdapat tidak daripada kurang lapan buah keluarga yang tinggal di rumah sewa Mamu Shakoor. Mereka terdiri dari tiga keluarga Cina, satu keluarga Melanau Kristian, tiga keluarga Melayu dan satu keluarga Iban. Mamu Shakoor tinggal bersama kami di salah sebuah rumah sewanya. Ayah beruntung kerana tidak perlu membayar sewa bagi rumah yang kami duduki dan bila kuingati zaman itu, aku amat berterima kasih kepada Allahyarham Mamu Shakoor kerana berhati mulia. Kini Mamu Shakoor, ibuku dan juga ayahku sudah lama pergi. Al-Fatihah buat mereka.
Kami terpaksa berpindah dari rumah pekerja di Sinjo kerana ayah meletak jawatan sebagai jaga di Syarikat Inggeris Henry Waugh.Ayah telah ditawarkan kerja baru sebagai jaga di sebuah bank.
Ayah bekerja waktu malam. Jam lima petang ayah mula berangkat menuju tempat kerja dan hanya akan balik pada esok pagi. Waktu pagi ayah akan bertungkus lumus bekerja memotong rumput untuk makanan lembu peliharaannya. Ayah bekerja sehingga jam sebelas pagi.
Jam satu tiga puluh petang ayah berangkat menjual roti. Ayah akan berjaja di kampung-kampung orang Melayu di sekitar Kuching dan juga di Bengkel majlis Perbandaran Kuching yang pada ketika itu terletak di jalan Petanak. Hasil jualan roti cukup bagi menampung perbelanjaan untuk harian keluarga. Ayah benar-benar kuat bekerja dan tidak langsung menunjukkan rasa penat. Hidupnya diabdikan untuk keselesaan keluarga semata-mata.
Kehidupan di Batu Lintang amat menyeronokkan bagiku. Banyak sekali kenangan manis ketika di batu Lintang. Kawan-kawanku terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Antara yang kuingati termasuklah Ah Beng dan Say Beng (dua beradik) Kulang dan adiknya (lupa namanya), dana beberapa orang dari pelbagai bangsa. Kami bermain bersama-sama. Masing-masing cuba memperkenalkan budaya dan amalan keluarga. Dengan cara itu kami boleh memahami kehendak dan juga pantang larang kawan-kawan. Aneh sekali, ketika itu tidak timbul perasaan perkauman menebal yang berbaur negatif. Kehidupan harian kami berjalan seperti jiran sekampung biasa. Kami bergaduh dan berselisih faham tapi bukan atas dasar perkauman.
Tahun 1961 aku mula bersekolah di Lumba Kuda Council School. Mula-mula ayah bawa aku ke Sekolah St Teresa tetapi tidak dapat diterima kerana telah lanjut usia. Aku memasuki darjah satu ketika berusia lapan tahun.Akhirnya hanya Sekolah rendah Lumba Kuda sahaja yang dapat menerima ku. Yang masih kuingati, pakaian seragam sekolah kami ketika itu ialah seluar pendek berwarna hijau dan baju putih. Sekolah ini terletak berhampiran dengan Padang Lumba Kuda di padungan.
Ketika aku berusia tujuh tahun, aku telah dipertanggungjawabkan oleh ayah untuk menjaga seekor lembu. Setiap pagi aku akan membawa lembu itu ke kawasan berumput untuk membolehkan lembu meragut rumput. Lembu akan dibawa balik selepas jam lima petang. Kakakku akan bersamaku. Dia juga diberi seekor lembu untuk dijaga. Pernah suatu ketika kami terlupa membawa balik lembu. Kami hanya ingat tentang lembu ketika jam sudah pukul sepuluh malam. Nak baut macam mana. Abang-abangku terpaksalah pergi ke tempat kami meletak lembu itu dan membawa balik lembu.
Keputusan peperiksaan darjah satu di sekolah Lumba Kuda cukup baik bagiku. Aku berada di posisi nombor tiga antara murid-murid kelas kami yang melebihi tiga puluh orang. Tapi aku hanya bertahan selam setahun di sekolah itu. Awal tahun 1962 keluargaku sekali lagi berpindah ke tempat baru. Ada sebab-sebab tertentu kami berpindah. Kali ini kami kembali ke kampung keluarga di Kampung Pulo Hilir yang terletak di seberang sungai Sarawak. Nantilah akan kuceritakan pula kisah kehidupanku di Kampung Pulo Hilir. Lama sekali kami tinggal di kampung. Rumah kami masih ada di kampung dan kini diduduki kakak dan ibu saudaraku.

2 comments:

roslan jomel said...

Salam bang Pharo!

Saya mengikuti dari jauh beberapa acara sastera yang sudah diadakan di Kuching. Anjuran API atau PEKASA.

Apabila mengadakan sebarang acara bicara karya secara terbuka, mahu tidak mahu, penulis itu harus berfikiran positif dan berjiwa luas. Penulis itu harus meletakkan karyanya di tengah-tengah penilaian pengkritik.

Ego penulis itu juga harus dileburkan sekiranya ada beberapa pandangan kritikal, yang barangkali tidak popular berhubung kelemahan-kelemahan yang terdapat pada karya mereka.


Saya amat menyetujui pandangan sdr Zack (pakar pementasan teater) dan abang Taufek (penyair berpengalaman) ketika berhadapan dengan sesebuah karya.

Pengkritik itu seharusnya jujur. Tiada tempat untuk kita membenarkan pengkritik palsu hidup menangan karya sastera. Sebagaimana kita tidak mahu membenarkan penulis tiruan bermaharajalela menguasai ruang media.

Apa-apa pun saya ucapkan tahniah kepada anda semua kerana menghidupkan nyawa kesusasteraan di negeri Sarawak.

Salam.

Pena_bahari said...

Salam buat Roslan,

"Pengkritik itu seharusnya jujur. Tiada tempat untuk kita membenarkan pengkritik palsu hidup menangan karya sastera. Sebagaimana kita tidak mahu membenarkan penulis tiruan bermaharajalela menguasai ruang media."

Abang fahami luahan hati Roslan dan akan menjadikan nasihat itu sebagai landasan melangkah masa muka abang.
Terima kasih.