Thursday, February 07, 2008

MERCUN




Beberapa hari yang lalu saya memulakan pembacaan sebuah buku My Life in Sarawak yang ditulis oleh Margaret Brooke, isteri Charles Brooke, seorang Inggeris yang diberi gelaran Rajah Putih yang kedua Sarawak. Membaca buku itu membawa kita kembali kepada zaman bahari negeri Sarawak yang dipenuhi dengan warna warni adat resam budi pekerti tinggi rakyat Sarawak. Tapi tulisan ini bukan hendak mengulas tentang buku di atas. Ada sesuatu yang menarik perhatian saya yang ingin saya kongsi bersama.

Ketika melawat Santubong, Margaret Brooke telah diberi layanan yang cukup istimewa oleh pemimpin Santubong ketika itu, Haji Ahmad. Dan semasa pergi ke suatu tempat untuk berehat, kedatangan mereka disambut dengan meriah oleh penduduk kampung. Mengikut catatan Margaret, mercun telah diletupkan semasa ketibaan mereka bagi menandakan penghormatan dan kegembiraan penduduk atas kehadiran beliau dan rombongan.

Bercerita tentang mercun yang dibakar ketika menyambut kehadiran tetamu atau ketika mereka balik dari sesuatu majlis, ia mengingatkan saya amalan penduduk Kuching yang pernah saya alami sekitar awal tahun enam puluhan. Saya tak pasti sama ada amalan membakar mercun ketika kehadiran tetamu atau ketika tetamu balik itu meluas di seluruh Kuching atau tidak. Yang saya ingat, ia diamalkan di kampung seberang hilir.

Saya ingat, ketika menyambut hari raya aidil fitri di kampung sekitar tahun 1962 atau 1963 suasana amat memriah sekali. Penduduk kampung akan memasang pelita disekeliling kawasan rumah dan juga di sepanjang jalan kampung. Dan telah menjadi tradisi bagi guru-guru yang mengajar di Pulo District Council School (sekarang ini SK Pulo) untuk pergi menziarah rumah para-pelajar mereka sambil bertemu ibu-bapa dan sanak saudara pelajar. Pertemuan cukup mesra. Ibu-bapa akan memberi sambutan yang cukup hangat pada guru-guru yang datang berkunjung. Guru-guru pula sempat bersua dengan ibu bapa pelajar sambil bercerita tentang perkara-perkara yang menyenangkan . Dengan pergaulan seperti ini, hubungan ibu bapa dan guru kukuh dan mesra. Pelajar pula memang sangat menghormati guru.

Oh ya, ketika guru-guru itu sampai ke tangga rumah, sebelum naik ke rumah, mercun akan dibakar oleh bapa atau pelajar bagi menyambut kehadiran guru-guru. Begitu juga apabila guru-guru berangkat balik sekali lagi mercun akan dibakar mengeluarkan bunyi dentuman yang bederetan.

Ayah tak benar saya bermain mercun jenis besar yang kami gelar mercun papan.Saya hanya diberi mercun padi yang mengeluarkan bunyi agak halus dan dentumannya tak sehebat mana. Apabila guru-guru balik dari rumah saya, Pak Usu saya melepaskan sepapan mercun padi, lantas ia mengeluarkan bunyi yang tidak nyaring dan ini membuat anak-anak sekolah yang mengiringi guru-guru tadi ketawa berdekah-dekah. Kebanyakan rumah yang dilawati akan membakar mercun papan atau yang lebih hebat akan membakar mercun long(jenis besar dan teramat nyaring).

Beberapa orang guru yang saya masih ingat datang melawat kami ketika itu ialah Allahyarham Cikgu Gobil Ismawi dan juga cikgu Betty. Yang lain saya tak dapat nak ingat. Kehadiran mereka ke rumah membuat saya betul-betul gembira, cemas pun ada dan yang paling seronok , saya bangga kerana guru sudi datang ke rumah saya, bertemu orang tua.

Saya tak pasti apa yang sedang anda fikirkan tentang adat atau amalan tersebut di atas. Bagi saya amalan guru-guru melawat murid-muridnya ketika hari raya puasa ini, sesuatu yang amat positif dalam membentuk jiwa anak-anak, membina hubungan kukuh guru dan ibu bapa dan yang paling penting mewujudkan suasana harmoni. Kalaulah amalan seperti ini boleh kita hidupkan kembali di peringkat sekolah menengah, tentu ia akan memberi kesan yang amat baik sekali. Sesekali kita meninjau masa lepas ada baiknya. Kadang-kadang ada pengajaran yang boleh kita temui di sana.


2 comments:

MasJuanda said...

Suatu adat yang unik
Saya juga akan merasa bangga jika guru mengambil berat dan lawat saya di hari raya.. very satisfying
TK

pharmy53 said...

Terima kasih sdr Masjuana atas komentarnya. Have a nice day.