Saturday, April 19, 2008

MENANGANI 7 BUAH PUISI PHARO ABDUL HAKIM


Menangani 7 buah puisi Pharo Abdul Hakim oleh : Jais Sahok
(Rencana ini disiarkan di akhbar Utusan Borneo dalam ruangan Yang indah itu bahasa pada 21.02.1990)

Tidak dapat dikesan di mana akan ditemukan semua karya penyair Pharo Abdul Hakim. Dalam antologi BUIH DI AIR, cuma ada tujuh buah - antologi bersama-sama Shamsherbie Narudin, Slleh Hj. Ahmad, Jali Kenoi dan Mat Sout Ahmad. Kebanyakan puisi (sajak) Pharo Abdul Hakim tersiar dalam PERINTIS terbitan Biro Kesusasteraan Borneo ( dan kemudian dilanjutkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak buat seketika. Kini majalah itu sudah tidak diterbitkan lagi).
Lewat puisinya yang 7 buah ini, apakah yang hendak dibicarakan oleh Pharo Abdul Hakim? Mencari jawapan kepada soalan inilah yang cuba diusahakan melalui penulisan rencana ini.
Tujuh buah puisi Pharo Abdul Hakim itu ialah:
i) Tradisi?
ii) Joker
iii) Cerita sebuah Senja
iv) Cintaku Jauh di Kuala
v) Ombak
vi) Pesanan
vii) Pencarian
Sebagai penulis puisi yang beragama Islam, Pharo menulis dua buah sajak berunsur Islam - yang jelas menampakkan harapan dan kehendaknya.
Kedua-dua buah sajak berunsur Islam yang dimaksudkan itu ialah
Pencarian dan Cerita Sebuah Senja. Dalam Cerita Sebuah Senja Pharo mengajak kita bersama-sama mendatangi panggilan ke ararah kemenangan. Ia dapat dilihat dalam rangkap kedua sajaknya itu:
anakku memanggil
memujuk
merayu engkau
datanglah ke barisan kami
datanglah kepada kemenangan.
Pnggilan itu pula adalah satu panggilan yang nyaring hingga diibaratkan bergema ke angkasa luas seperti tulisnya dibait pertama:
Dengan irama nan mendayu
barisanku bernyanyi
bergema di angkasa luas.
Adakah semua orang menyahut panggilan (azan) demikian? Selalunya tidak. Perkara inilah yang diperjuangkan oleh Pharo lewat sajaknya itu. Ini kerana masih banyak manusia yang lalai dengan serba serbi kegiatan keseronokan masing-masing seperti dikesalinya:
.....
tapi engkau tertawa saja
bersama dayang-dayang keliling pinggang
dan kini cafe itu telah jajdi istimewa
kerana sudah separuh abad usiamu
masih jua menjenguk monalisa
Monalisa seperti kebanyakan orang tahu adalah lukisan wajah wanita yang paling cantik di dunia. Banayak orang memodelkan nama itu sebagai nama perempuan, malah tidak kurang pula yang memujanya.
Monalisa sebagai lambang pelayan di cafe yang digunakan oleh Pharo dalam sajaknya ini memang tepat dan sesuai. Ini kerana selain minuman keras dan alunan musik yang menghangatkan suasana , pelayan yang menggoda jiwa adalah satu lagi daya tarikan yang sentiasa mengajak orang berkunjung ke cafe atau kelab malam. Kerana kelalaian itu, biasanya manusia pengunjung dan pemuja Monalisa, melupakan amal ibadat dan kewajipanya tetapi kelalaian menang jua:
Di bukit sana masjid emas menunggu lawat
dan di kakinya istanamu bermegah
dan kini anakmu memanggil lagi
tapi
engkau membisu
memekak
membiar senja berlalu
Hari-hari seterusnya manusia yang lalai ini akan mengulangi perbuatannya walaupun rumahnya cuma terletak di luar pagar masjid.
Lewat sajak
Pencarian pula Pharo benar-benar melukiskan gambaran pencarian itu sendiri. Dalam pencarian itu beberapa perkara aneh yang kadang-kadang mencabar akal manusia ditemukannya. Perhatikan bait pertama sajak itu:
Kembara aku sampai ke horizon
ke barat, ke timur, ke utara, ke selatan
mencari yang tak boleh kulihat
tapi kuhormat
tak pernah kudengar suara
tapi pernah bermadah
Sejauh kembara di muka bumi mungkin masih mudah difikirkan tetapi keupayaan manusia hingga mencecah kaki di bulan, kecuali manusia yang terpilih khas - sukar dilakukan. Namun , walau sampai di bulan pun bukannya mudah mencari kehendak kita sendiri.
kembara aku sampai ke bulan
tak kujumpa jawapan
hanya jiwa yang tertekan
Jika seseorang sentiasa bertanya dan mencari, seperti kata Pharo dalam puisinya, dituduh gila atau pelampau yang murtad. Begitu sukarnya kita menemukan jawapan soalan di mana Tuhan! Bagaimanapun seperti hakikatnya yang diterangkan dalam Islam, Pharo menulis :
Dengan hati rawan
kutanya pada semua
hanya satu yang kutemui
- Ia ada bersamamu-
Walaupun tidak kelihatan, Ia yang dimaksudkan itu tidak harus dilempari noktah kecewa atau putus asa. Pharo terus mengembara, seperti tulisnya lagi:
Aku terus kembara
mencari
yang ingin kutemui
dan berbicara sama
Melalui pengamatan, pengalaman dan pemerhatiannya tentang alam sekeliling, cara hidup dan sikap masyarakat di sekelilingnya, Pharo saya ibaratkan pengkritik sosial yang tajam - melalui puisinya.
Melalui soalannya dalam sajak
Tradisi? Pharo sebenarnya membenci sikap orang Melayu (orientasi masyarakat Pharo adalah Mmelayu) yang turun -temurun tidak pernah berubah kepada kebaikan, kemenangan atau pencapaian mutu tinggi.
Bagi orang Melayu selalunya:
Bapa borek anak rintik
bapa berat di lengan
anak berat di bahu
Bagaimanapun hakikat contoh dan teladan sememangnya begitu. Anak akan menjadikan bapanya model contoh yang paling dekat. Maka itu, kalau bapanya borek,apa lagi, anaknya rintiklah. Justeru kalau bapamalas, anaknya lebih malas atau paling kurang pun sama malas.
Persoalan ini berat, walaupun sajak ini ditulis dalam tahun 1970an, tapi persoalannya masih segar, masih menular gejalanya dalam sistem sosial kita ini. Bagaimanapun tentulah semua orang menyesalinya seperti juga Pharo:
kulihat ini penuh kesalan
menggigit jari pada tradisi
Sememangnya tradisi ini harus ditinggalkan atau dihapuskan sama sekali. Inilah yang dapat saya lihat dalam sajak sebait karya Pharo ini. Alat yang paling berkesan untuk cuba mengusahakannya ialah pendidikan yang lebih baik. Cabaran ekonomi dan perebutan peluang sudah tentulah menjadi fenomena asasnya tetapi sikap negatif yang dikesali itu, dapatkah diubah?
Daripada kekesalannya terhadap tradisi yang merugikan itu fikiran Phareo bercambah kepada kritikan yang lain seperti perangai tahi judi, rantai d an belenggu hidup para nelayan lalu dia menasihatkan pembaca tentang kehidupan.
Dalam sajak
Joker, iaitu kritikan terhadap perangai canggung tahui judi, gambaran porak-peranda hati judi begitu jelas iaitu:
di rumah isteri menangis
peluh sebulan kekring semalam
esok berpeluh lagi
joker tetap tersenyum ria
Kepada tahi judi, wang isteri dan anak-anak pun tidak diendahkan. Yang penting baginya ialah berjudi. Kalau kalah begitulahjadinya, tapi kalau menang pun tidak pernah akan kaya sepanjang zaman. Dapat pula diibaratkan keadaan menang jadi arang kalah jadi abu.
Itulah tentang kesan judi kepada keluarga dan keadaan secara keseluruhannya. Tentang diri tahi judi itu pun Pharo berpandangan jijik dan mengecamnya.Perhatikan dia menulis:
Ayam berkokok
menguap
bila balik tyerhoyong-hayang
puas
Rantai dan belenggu hidup para nelayan yang tidak pernah berubah diperlihatkannya dalam sajak
Ombak:
nelayan ke laut mencari nafkah
untuk sesuap nasi
kembalinya melihat perubahan pantai
menyumpah ombak yang menggila
yang menarik istana dunianya.
Yang dimusykilkan di sini ialah keadaan pantai boleh berubah oleh tamparan dan hempasan ombak- selalunya menjadi lebih baik-lebih cantik, menarik. Tapi bagi nelayan-kebahagiaannya diragut dan ombak itu diibaratkan fenomena alam yang menggila.
Ada mesej dan amanat yang tersembunyi di balik kata perubahan itu- pada tanggapan saya. Kalau ombak ganas dan gila itu dapat mengubah dan mencantikkan pantai, kenapa kehidupan manusia(nelayan) itu menjadi papa kedana- sedangkan manusia adalah makhluk istimewa yang ada akal dan fikiran. mengap tidak diubah untung nasib diri sendiri dengan melakukan kerja lain? Hanya dengan menjadi nelayan sahajakah para nelayan kini dapat hidup? Di negeri-negeri yang lainpara nelayan sudah naik ke darat - bertani dan/atau berniaga. Kelak apabila keadaan sudah mengizinkan, kembalilah ke laut.
Ombak, sebagai sifat semula jadinya, kalau diharungi dengan perahu kecil tentulah menjadi pembunuh, tapi kalu dibiarkan sendirian sambil manusia mencuba nasib di tempat lain- rezeki di tangan Tuhan dan ada di mana-mana. Lagipun Tuhan tidak akan mengubah nasib satu-satu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri yang mengusahakannya.
Dalam sebuah sajak yang yang lain,
Pesanan (untuk seorang teman), Pharo berpesan:
Pergilah
moga kau temui dunia baru-pintamu
pesanku
hidup sebagai lilin
nanti kau kan temui...?
Bagi saya, Pharo memperlihatkan fikiran dan sikap keterbukaannyadalam sajak ini. Baginya, orang yang pergi terlalu cepat yang enggan mendengar nasihat orang lain, haruslah dibiarkan pergi agar tercapai cita-cita dan hajatnya.Manusia memang mahu bebas bertindak.
Begitulah tujuh buah sajak hasil tangan Pharo Abdul Hakim yang sempat diteliti. Sudah lebih lima belas tahun Pharo tidak menulis sajak- satu penantian yang terlalu lama bagi para peminat sastera (genre puisi khususnya) di Bumi Kenyalang.

Utusan Borneo: 21.02.1990
catatan: Rencana yang sdr Jais tulis ini telah menghidupkan kembali keinginan dan minat saya menulis puisi. Sejak itu, puisi terus lahir dari tinta sehingga hari ini. Terima kaksih Sdr Jais Sahok.

4 comments:

dahirisaini said...

wah, saya trtarik dgn bauran warna kat blog ni, ada talend ke era globalisasi.

salam.

pharmy53 said...

Salam dan terima kasih atas perhatian Dahiri.Dahiri apa kurangnya.hehehe

roslan jomel said...

Salam abang Pharo.

Diharap juga, agar Cikgu Jais sudi mengulas cerpen-cerpen yang terbit di ruangan YIIB.

Kekurangan pengkritik sastera berwibawa di Sarawak, sungguh membimbangkan.

Kita memerlukan lebih ramai kritikus sastera dari golongan generasi baharu seperti sdr Awang Azman sebagai keseimbangan kelahiran penulis-penulis baharu.

Ya, sudah tentulah kita mengharapkan kritikan yang lebih jujur, terbuka dan tidak semata-mata ulasan sekadar memuji.

Setiap karya sastera memiliki kelemahan dan kekuatannya sekaligus.

Salam hormat. Senyum selalu. :)

pharmy53 said...

Salam buat Roslan,
Benar kata Lan, kita memerlukan lebuih banyak pengkritik. Roslan salah seorang yang boleh kita harapkan.
Kritiklah dengan jujur tapi penuh hikmah. Jangan dilukai hati penulis dengan teguran yg terlalu membunuh. Buat dengan cara yg baik supaya kata orang Melayu, Kalau tarik rambut dari tepung, rambut tak putus , tepung tak tumpah.
Teruskan penulisan Roslan. Abang benar-benar senang dengan penulisan Lan yg abang anggap membawa pembaharuan kpd kita di sini.