Tuesday, July 15, 2008

HAIKU, PUISI DARI NEGERI MATAHARI TERBIT YANG MEMIKAT HATI


Entah mengapa, setelah menatap Haiku tulisan Matsuo Basho yang saya temui di internet, saya mula terpikat pada keindahan Haiku. Saya membaca bahan-bahan tentang Haiku yang terdapat di laman-laman yang temui sehingga ketemu E-Sastera.com. Di sini terdapat sekumpulan penulis haiku Malaysia menulis haiku untuk disiarkan di laman ini.

Keghairahan saya berterusan terhadap haiku bertukar menjadi satu keseronokan yang memuncak. Saya ke Perpustakaan untuk mencari bahan-bahan bacaan tentang Haiku tetapi hanya ketemu sebuah buku sahaja yakni: Traditional Japanese Poetry an anthology, terjemahan Steven D. Carter. Saya baca haiku-haiku yang terdapat di dalam buku ini berulang kali untuk memahami dan menikmati keindahan haiku.

Apa itu Haiku? Banyak sekali tafsiran dan definisi haiku yang boleh kita temui jika kita ingin mengkajinya. Haiku merupakan puisi Jepun yang sudah berkembang ke seluruh pelosok bumi. Haiku merupakan puisi yang terdiri daripada tiga baris ayat mengandungi tujuh belas suku kata dalam susunan berikut: 5/7/5.

Pada asasnya Haiku mesti mengandungi kigo yakni kata musim dan kireji yakni kata pemotong. Kata musim di dalam haiku menggambarkan latar belakang puisi ini berlaku atau dilukiskan. Kalau di Jepun musim yang dimaksudkan ialah musim sejuk, panas, bunga dan rontok. Penulis Haiku menulis pengalamannya melalui musim-musim tertentu, menggambarkan apa yang dilihat. Gambaran peristiwa inilah yang dibentuk sehingga menjadi sebuah Haiku yang cantik..

Walaupun Kigo atau kata musim ini dianggap oleh kebanyakan pihak satu unsur penting dalam sesebuah haiku, penulis moden Jepun yang menulis haiku dalam bentuk bebas tidak berpendapat demikian. Dalam haiku bentuk bebas Jepun, mengetepikan kigo merupakan sesuatu yang disengajakan.

Kireji atau kata pemotong pula biasanya diletakkan pada akhir baris kedua menjadi pembeda dua ayat yang mengandungi dua cerita yang berbeza. Kireji dalam bahasa Inggeris atau Melayu diganti dengan tanda koma atau sengkang kerana tiada kata persamaan bagi kireji dalam bahasa Inggeris mahu pun bahasa Melayu.

Haiku bercerita tentang apa sahaja yang berupaya ditulis tapi jarang benar kita ketemu tema yang padat mahupun kompleks untuk difahami oleh insan biasa. Haiku ditulis untuk menggambarkan tentang kehidupan harian yang biasa tetapi cara penulisannya membawa pembaca ke satu era dan pengalaman baru.Walaupun penulisan haiku dikongkong oleh pelbagai syarat dan tradisinya, seseorang penulis haiku pastinya akan menulis mengikut gaya dan cara sendiri bagi menggambarkan keinginan dan kecenderungan penulis.

Di bawah ini saya tunjukkan contoh haiku yang saya terjemah secara bebas . Haiku ini merupakan tulisan guru haiku yang sangat dikagumi, Matsuo Basho (1644 -1694):

Di kolam tua

kodok melompat masuk –

air memercik

No comments: