Friday, July 18, 2008

KEHIDUPAN DI KAMPUNG PULO HILIR (2)- CIKGU JUSTIN KIRIM

CIKGU JUSTIN KIRIM
Setelah tinggal di kampung Pulo Hilir aku meneruskan persekolahanku di Pulo District Council School. Sekolah ini terletak di Kampung Pulo Hilir. Bentuk sekolah ini serupa dengan sekolah dewasa yang terdapat di dalam filem Tan Sri P. Ramlee, "Pendekar Bujang Lapok."
Sayangnya aku tak ingat siapakah guru kelas ketika itu.
Banyak guru yang boleh kuingati. Ada yang telah kembali ke rahmatullah. Ada juga yang kutemui dan masih lagi mengingatiku. Seorang guru yang ingin kusentuh hari ini yang masih kuingati hingga hari ini ialah Cikgu Justin Kirim.Kami bertemu dalam tahun 1963, kalau tak silap ingatanku. Cikgu Justin seorang guru sementara yang pada masa itu baru sahaja menamatkan pelajaran persekolahannya.
Apa yang kuingati pada cikgu Justin ialah kemahiran melukis yang ada pada beliau, selain kebaikannya dan cara mengajar yang tidak langsung memberi tekanan padaku sebagai seorang pelajar. Perlu kuceritakan juga, aku tak tahan menerima tekanan daripada guru-guru yang agak kasar dan suka menengking jika kita melakukan kesilapan. Jiwaku cukup tertekan.
Cikgu Justin tidak lama bersama kami, rasanya kurang dari setahun. Beliau berhenti selepas itu. Banyak pelajar menangis kerana sayangkan beliau. Pertama kali dalam hidupku, aku diberi peranan dan kepercayaan oleh guru besar untuk menyampaikan ucapan di majlis perpisahan cikgu Justin Kirim. Tak pasti pula siapa yang menulis ucapan waktu itu, tetapi aku membaca ucapan dengan penuh emosi tapi gementar. Apa pun aku cukup senang dan gembira kerana dapat melakukannya. Seingatku, peristiwa itu satu permulaan penting padaku dalam mengharungi dunia penulisan. Tepukan gemuruh dari teman-teman dan guru-guru yang hadir di majlis perpisahan cikgu Justin hari itu amat kurasai.
Selepas perpisahan dengan cikgu Justin hari itu, sedikit sebanyak rasa tidak senang mengganggu diriku. Aku tidak lagi bertemu dengan cikgu Justin. Tak pasti ke mana arah perjalanan beliau sehingga suatu hari aku membaca salah sebuah majalah terbitan Borneo Literature Bureau (BLB) tapi aku tak pasti sama ada majalah Dolphin atau Perintis. Salah sebuah ilustrasi yang terdapat di dalam majalah itu ditandatangani oleh cikgu Justin Kirim.Tahulah aku bahawa beliau bertugas di BLB.
Aku hanya bertemu kembali dengan cikgu Justin sekitar tahun 1990an ketika menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Kuperkenal diriku dan cuba meningatkan cikgu Justin tentang cerita lama. Rasanya dia sudah lupa tentang masa itu tapi dia tetap seperti dulu, seorang yang halus pekertinya, agak pendiam dan berbudi tinggi. Aku senang sekali bertemu beliau setelah berpisah lebih tiga puluh tahun. Ah satu perjalanan masa yang lama, namun pertemuan itu yang amat bernilai bagiku.
Hari ini cikgu Justin telah bersara begitu juga diriku. Apa yang kuharapkan belaiu tenang dalam kehdupannya. Pertemuan kali ketiga masih kutunggu walaupun ia mengambil masa tiga puluh tahun lagi.
Selamat pagi cikgu
!

7 comments:

Salak said...

Sdra Bahari,

Saya teringat lagi menyimpan sebuah buku , hasil kajian kecil A.Zainal Abidin dan Abdullah Salleh bertajuk "Life in the Malay Kampongs of Kuching, Fifty Years Ago", terbitan UNIMAS 2002. Dalamnya dijejaki kehidupan orang-orang Melayu di kampung-kampung "Tebing Utara" dari Kpg Tupong hingga Bintawa.

Amnya untuk menggambarkan segi geografi tempat dan latarbelakang ekonomi penduduk-penduduk. Juga saya baca tentang satu pertalian ekonomi antara komuniti kampung dengan pasar dan sokongan socio-ekonomi antaranya---satu bergantung dengan yg lain.

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang Ibu dan anaknya mengurus sebuah jualan nasi dan mee. Yang menarik ialah si Ibu dididik oleh keluarga Melayu di kawasan Sdra, tak ingat kampungnya, manakala ayah beliau seorang English. Akhirnya, si Ibu memeluk agama Islam sebab kedua-dua anaknya mengahwini orang Melayu di Kuching.

Buku "Life in the Malay Kampongs of Kuching, Fifty Years Ago" mudah didapatkan daripda kedai-kedai buku utama di Kuching.

Saya jangka banyak lagi susuk-susuk hidup yg menunggu untuk diterokai dan apa saja yg boleh kita tulis, tak kisah keutamaannya untuk apa, asalkan ianya kita catitkan. Ada orang akhir dari kita nanti akan "menjala" dan memberi "bentuk" kepada segala yg terpendam dalam lubuk kehidupan.

Moga sihat-sihat hendaknya.

Pena_bahari said...

Salam sdr Salak,
Saya ada membaca sedikit buku yg sdr nyatakan itu dua minggu lepas. Saya berpeluang hidup di dalam masyarakat yg diceritakan di dalam buku ini. Menariknya saya mengenali dua daripa orang yg ditemuduga/dikaji ttg pekerjaaan mereka dan salah seorang merupakan datuk saya melalui perkahwinan.
Mengingatkan kembali kehidupan di kampung sekitar awal 60an sesuatu yg begitu nostalgik. Sayang , bayak sekali kehalusannya yg hilang.
Bayak sekali lembar-lembar kehidupan yg perlu dicatatkan. Semoga kita diberi ruang dan keupayaan.
Salam hormat dan terima kasih.

Saiee Driss said...

Maka inilah yang saya sebut sebagai pengisahan dan kalau ada beberapa orang masing-masing buat pengisahan dan dihimnpun akan lahir sebuah buku antrop0oligi yang menarik.

Teruskan usaha anda.

Pena_bahari said...

Terima kasih sdr Saiee,
Saya yakin usaha kita untuk mengumpul dan menggerakkan golongan veteran agar terus produktif akan berjaya.

KARNI TAHA said...

Salam mesra dan salam kemerdekaan,
Sdr Penabahari,
Saya Karni bin Taha, berasal dari Kpg Tg Apong, Asajaya. Pada tahun 1963 kami pindah ke Kpg Semarang dan bersekolah di Pulo District Council School dari 1963 hingga 1968. Pada 1963 guru besar ketika itu ial Cikgu Osman (saya lupa bin nya)Guru guru lain yg mengajar kami pada waktu itu antaranya : cikgu Gobil, Cikgu Betty, cikgu Lilian, cikgu Lim, cikgu Bujang, cikgu Sarah, cikgu Khalik dan ramai lagi. Nanti akan saya ceritakan lagi tentang SK Pulo pada zaman 60an.

KARNI TAHA said...

Salam sdr. Bahari,
Saya berasal dari Kpg Tg Apong, Asajaya. Pada tahun 1963 kami pindah ke Kpg Semarang lalu saya bersekolah di Pulo DC School dari tahun 1963 hingga 1968. Nanti di lain waktu akan saya ceritan kisah nostalgia pada zaman tersebut.
Salam

Pena Bahari said...

Wa alaikum salam sdr Karni,
ya saya masih ingat pada saudara. 1963 saya berada di dalam darjah 3.Guru besar waktu itu Allahyarham cikgu Othman Ali.Byk juga yg telah meninggalkan kita, antaranya Allahyarham cikgu Gobil dan Allahyarham cikgu Bujang. Sesekali saya ada bertemu cikgu Khalik Simpo. Dia pernah menjadi jiran saya semasa sama tinggal di Kpg Tunku. Saya difahamkan cikgu Sarah tinggal di Kpg tunku jua tapi belum pernah menemui beliau. cucu cikgu Sarah merupakan teman saya dalam persatuan penulis di kuching, PEKASA. Saya tak pernah lagi berjumpa cikgu Betty dan cikgu Lilian. Jika ada ruang saya ingin bertemu mereka.