Friday, January 25, 2008

Simunjan Yang Kukenal(2)


Majlis makan Malam di Sekolah
Semasa pertama kali di Simunjan aku memang rasa sunyi juga kerana tidak punya teman. Sahabat-sahabat berada jauh di Kuching. Dalam masa yang singkat aku mula berkenalan dengan banyak teman baru. Dan melalui teman-teman ini, aku dibawa bergerak ke pelbagai kampung dan tempat yang baru.
Setiap malam minggu ada beberapa aktiviti yang boleh menghilangkan rasa boring. Maklumlah ketika itu, Simunjan sebuah tempat yang agak jauh dari bandar. Untuk ke Kuching perlu naik motor bot laju yang mengambil masa3 hingga 4 jam untuk sampai dengan merentas laut China Selatan. Antara hiburan yang ada, menonton wayang dan pergi menghadiri majlis bergendang di rumah penduduk yang mengadakan majlis kenduri kahwin.
Tak jauh dari sekolah menengah Kerajaan Simunjan, terdapat sebuah kampung Iban yang bernama Kpg Sekendu. Ada jalan menuju ke kampung itu. Tapi aku memang tak pernah ke sana. Malam itu, malam minggu. Aku dan dua orang teman, cikgu Sharbini dan Mokhtar sedang berborak di rumahku. Kami mendengar paluan gendang mendayu tapi bunyinya agak tak kedengaran sangat. Mungkin terlalu jauh agaknya.
Mokhtar percaya kampung Sekendu sedang mengadakan majlis bergendang. Kami berpakat untuk merentas jalan di belakang sekolah untuk ke kampung Sekendu. Masalahnya tiada siapa antara kami yang tahu jalan ke sana. Kami mengambil keputusan untuk mencuba pergi dengan mengikuti arah gendang.
Kami pun mengambil keputusan untuk ke kampung Sekendu merentas hutan yang terdapat di belakang sekolah kerana kata Mokhtar, di belakang sekolah ada jalan pintas ke kampung tersebut. Ada kelihatan laluan kecil. Kami ikuti laluan itu selama beberapa minit. Selang tak lama kemudian bunyi gendang semakin jauh tapi jelas. Malangnya jalan yang kami lalui tidak membawa ke mana-mana. Kami masih di takuk sama kerana jalan yang kami ikuti seperti satu bulatan. Kami kembali ke tempat bermula. Kami cuba lagi dan terus berjalan. Dan akhirnya kami dah tak tahu ke mana arah nak dituju. Ringkasnya kami tersesat di dalam hutan pada jam 12.00 tengah malam. Yang kami ada hanyalah pancaran sinar purnama yang menerangi kegelapan.
Jantungku berdegup pantas kerana terlalu penat berjalan dan kerana ketakutan telah menguasai diri. Kami berhenti, berfikir dan berbincang. Mokhtar yang lebih arif tentang keadaan hutan di sana dan faham sedikit tentang cara merentas hutan menerangkan kepada kami cara mencari jalan pulang.
Kami ikuti petunjuk sdr Mokhtar. Lima belas minit berjalan kami sampai ke tempat kami bermula setelah membuang masa empat puluh lima minit di dalam hutan. Akhirnya kami mengambil keputusan tak jadi pergi ke kampung Sekendu. Aku terus balik dan tidur dengan jantungku terus berdebar-debar ketika mengingati perasaan semasa sesat di hutan di tengah malam ketika bulan mengambang tadi. Bukan senang nak lelapkan mata...
Esok kami tanya cikgu Simon, seorang guru dari Kampung Sekendu tentang majlis bergendang yang kami nak hadiri tetapi tersesat. Cikgu Simon beritahu kami tak ada pun majlis bergendang di kampungnya. Kami jadi keliru.. Dari mana datangnya paluan gendang itu, ya?

No comments: