Monday, July 21, 2008

BUYA HAMKA

Setelah membaca HAMKA PUJANGGA ISLAM KEBANGGAAN RUMPUN MELAYU - menatap peribadi dan martabatnya

Oleh H. Rusydi Hamka

Sewaktu menghadiri Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di Johor Bahru pada 2 hingga 4 Mei 2008 yang lalu saya sempat meluangkan masa di kedai buku bersama seorang anak saya yang kini bertugas di Pasir Gudang. Kedai buku yang terletak berhampiran dengan hotel penginapan para peserta itu saya terokai selama lebih satu jam. Hasilnya saya ketemu buku tulisan putera Buya Hamka, H. Rusydi Hamka. Mengikut kata penulisnya buku ini bukan sebiuah biografi tapi sekadar catatan kehidupan penulis ketika bersama buya.

Penulis telah merakam di dalam buku setebal 396 muka surat ini dengan pelbagai catatan, peristiwa, perasaan dan emosi serta pengalaman-pengalaman humor yang dialami buya termasuk pengalaman di Malaysia.

Penulis telah menulis dengan gaya yang mudah tapi cukup berkesan pada diri saya. Ketika menceritakan derita dan suka duka dialami buya, saya turut merasakan kesukaran yang digambarkan. Saya dapat rasakan betapa sukarnya untuk menjalani kehidupan yang perit dengan pelbagai kesulitan hidup yang perlu ditempuhi.

Yang paling menusuk jiwa saya apabila penulis menceritakan pengalaman dan penderitaan yang dialami oleh buya ketika berada di dalam tahanan pihak pemerintah (ketika itu pemerintahan Presiden Soekarno). Tidak dapat saya gambarkan betapa menyayat hati melihat seorang ulama besar dikasari, diejek dan diperlaku sekehendak hati oleh pihak berkuasa ketika itu. Tuduhan yang dikenakan terhadap buya yakni merancang membunuh presiden Soekarno cukup tidak masuk akal, tapi begitulah politik. Sesuatu yang tidak masuk akal boleh menjadi kenyataan dengan adanya kuasa. Tapi setakat manakah kebenaran palsu itu dapat dipertahankan.

Sebuah buku yang patut dibaca jika teman-teman ingin menelusuri kehidupan seorang insan yang istimewa dan tinggi martabatnya ini. Buku diterbitkan oleh Pustaka Dini.

3 comments:

CT said...

CT sangat menyanjungi Pak Hamka dan buku2 tafsir beliau menjadi pedoman buat CT. Abang ke JB awat tak singgah rumah chek?

Penabahari said...

Thanks CT. Kira akan jugalah abang kat JB nanti. Ada anak baru bekerja di Pasir Gudang. nantilah abg cuba jenguk kat sana. Insyaallah jika diizinkanNya jua.
CT dan suami kalau ke Kuching, maklumkan jua.

CT said...

Pasir Gudang memang area CT tinggal...InsyaAllah kalau CT tak kemana2 boleh kita semua berjumpa di JB...Kalau abang nak datang JB e-mail CT OK?